Pages

Penyakit mata rabun (myopia, hyperopia, astigmatism)

Mata manusia berfungsi seperti sebuah kamera untuk melihat dengan jelas. Objek yang dilihat difokuskan keatas retina. Ini dicapai melalui kuasa menumpu yang terdapat pada kornea dan kanta. Apabila imej tidak difokuskan dengan tepat diatas retina, maka rabun terjadi. Keadaan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur dan ianya boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata atau kanta sentuh.

Terdapat tiga jenis rabun mata iaitu :

  • Myopia (rabun jauh) : Imej difokuskan dihadapan retina
  • Hyperopia (rabun dekat) : Imej difokuskan dibelakang retina
  • Astigmatism : Imej yang terbentuk mempunyai lebih dari satu titik fokus


Tanda & gejala

  • Miopia : Penglihatan jauh tidak jelas, manakala penglihatan dekat sangat jelas
  • Hyperopia : Penglihatan jauh lebih baik dari penglihatan dekat. Mata mudah menjadi penat jika tidak dibetulkan.
  • Astigmatism : Kabur hampir dikesemua jarak dan imej menjadi senget atau tidak sempurna

Komplikasi

Rabun yang tidak dirawat pada orang dewasa boleh menyebabkan ketidakselesaan pada mata, mata menjadi penat dan kadangkala sakit kepala.

Rabun di kalangan kanak-kanak memerlukan perhatian yang khusus dan penjagaan mata yang betul. Ini kerana rabun yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan berlakunya ambliopia (mata malas).

Rawatan

Terdapat beberapa kaedah rawatan untuk miopia, hiperopia dan astigmatisma. Rawatan bukan pembedahan termasuklah cermin mata dan kanta sentuh. Rawatan pembedahan pula termasuklah kaedah laser dan kaedah pembuangan kanta mata yang jernih. Walaupun terdapat beberapa kaedah pembedahan untuk membetulkan rabun pada masa ini, namun bukan semua individu adalah calon yang sesuai untuk kaedah-kaedah tersebut. Pesakit seharusnya diperiksa secara terperinci terlebih dahulu oleh doktor mereka sebelum sebarang keputusan dibuat untuk memastikan kesesuaiannya.

Pencegahan

Kanak-kanak disarankan untuk mengurangkan aktiviti, seperti membaca terlalu lama, menonton televisyen pada jarak yang dekat atau menghadap skrin komputer terlalu lama, untuk mengurangkan risiko terjadinya myopia (rabun jauh).

Masalah-masalah lain yang berkaitan

Presbiopia (rabun tua) terjadi kepada orang berumur 40 tahun dan keatas. Ini disebabkan oleh perubahan pada kanta mata apabila umur seseorang itu meningkat. Keupayaan kanta untuk memfokus bagi melihat objek dekat semakin berkurangan. Presbiopia terjadi pada semua orang, dan akhirnya mereka perlu memakai cermin mata membaca atau bifokal. Presbiopia tidak boleh dirawat dengan kaedah laser.

No comments:

Post a Comment

Artikel Popular