Lekangan retina (kuning) |
Retina merupakan lapisan nipis tisu saraf yang melapisi bahagian dalam mata dan amat sensitif pada cahaya. Apabila lekangan retina berlaku, lapisan retina akan terangkat dari kedudukan asal. Jika tidak dirawat dengan segera, ia akan menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal.
Tanda & gejala
Gejalanya termasuk kabur penglihatan tanpa rasa sakit dan /atau peningkatan bilangan 'floaters' secara mendadak (tompok-tompok hitam kecil yang terapung di dalam medan penglihatan), dan /atau melihat kilauan cahaya. Gejala lain adalah pesakit seolah-olah melihat tabir turun atau terdapat sesuatu menghalang sebahagian dari medan penglihatan.
Komplikasi
Kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengakibatkan kebutaan yang tidak boleh dipulihkan.
Rawatan
Koyakan retina yang kecil dengan sedikit atau tiada lekangan boleh dirawat dengan kaedah laser atau pembekuan (cryopexy). Sesetengah koyakan retina tidak memerlukan rawatan.
Kebanyakan lekangan retina memerlukan pembedahan untuk melekatkan semlua retina yang telah lekang kembali ke dinding mata. Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan pada masa kini. Jenis pembedahan yang akan dilakukan bergantung kepada jenis dan tahap lekangan tersebut, dan bergantung juga kepada pilihan pesakit dan Pakar Bedah vitreo-retina itu sendiri.
Pelbagai kaedah mungkin boleh digunakan untuk memastikan retina dilekatkan semula dengan sempurna ke atas lapisan dalam mata termasuklah kaedah 'Scleral buckling', pembedahan vitrektomi dan pneumo-retinopeksi (menyuntik gas ke dalam mata).
Pencegahan
Sesiapa sahaja boleh mendapat lekangan retina, tetapi ia lebih biasa terjadi pada golongan tertentu. Ini termasuklah orang yang mempunyai rabun jauh, golongan yang berumur 50 tahun ke atas, orang yang pernah mengalami kecederaan yang teruk pada mata, dan juga mempunyai sejarah keluarga yang mengalami lekangan retina. Oleh yang demikian, golongan orang sebegini perlulah mendapatkan rawatan secepat mungkin sekiranya mereka mengalami gejala-gejala yang mencurigakan.
No comments:
Post a Comment