Pages

Penyakit mata katarak

Katarak (mata kanan)

Katarak ialah suatu keadaan dimana kanta mata yang jernih menjadi keruh(berselaput). Ini boleh diumpamakan seperti tingkap yang sebahagiannya diselaputi kotoran. Katarak terjadi akibat daripada proses penuaan, kecederaan mata, penyakit-penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat. Katarak adalah punca utama kebutaan yang boleh dipulihkan.

Katarak perlu dibuang sekiranya kehilangan penglihatan menjejaskan aktiviti harian pesakit seperti memandu, membaca atau menonton TV. Di peringkat awal katarak, penangguhan pembedahan tidak akan menyebabkan kerosakan jangka panjang pada mata atau membuatkan pembedahan menjadi sukar.


Tanda & gejala

Gejala yang biasa dialami oleh pesakit katarak termasuk :

  • Kabur penglihatan tanpa rasa sakit
  • Silau, lampu kereta, cahaya lampu atau cahaya matahari kelihatan sangat terang.
  • Kerap menukar preskripsi cermin mata.
  • Penglihatan berganda pada sebelah mata.
  • Rabun ayam
  • Warna kelihatan pudar

Katarak matang yang tidak dirawat telah terkeluar ke bahagian ruang hadapan mata(dihadapan iris), menyebabkan glaukoma dan radang mata
Komplikasi

Seperti yang telah dinyatakan diatas, katarak yang belum matang hanya perlu dibedah sekiranya ia menjejaskan aktiviti harian. Walaubagaimanapun, katarak yang sudah matang perlu dibedah secepat mungkin sebelum terjadinya komplikasi-komplikasi lain seperti glaukoma atau radang mata yang berlaku disebabkan kanta, yang boleh menyebabkan kebutaan kekal (tidak boleh dipulihkan).

Rawatan

Sekiranya sedikit sahaja penglihatan terjejas, pembedahan tidak perlu dilakukan. Dengan hanya menukar preskripsi cermin mata dapat membantu pesakit melihat dengan lebih baik untuk sementara waktu. Sesungguhnya, tiada ubat-ubatan, ubat titis mata, senaman atau cermin mata yang boleh mengubati katarak. Hanya pembedahan sahaja yang diperlukan oleh pesakit.

Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang berselaput dikeluarkan dari mata . Dalam kebanyakan kes, kanta yang asli ini akan digantikan dengan kanta implan intraokular (IOL) yang kekal

Pencegahan

Kebanyakan katarak terjadi disebabkan faktor umur. Walaubagaimanapun, katarak juga boleh disebabkan oleh faktor kongenital, keadaan-keadaan seperti diabetes, faktor persekitaran seperti kecederaan mata, pengambilan ubat-ubatan seperti Prednisolone (steroid) atau kekurangan zat makanan. Sehingga kini, tiada lagi kaedah yang diketahui untuk mencegah dari berlakunya katarak. Tetapi pemakanan yang seimbang terutamanya, bahan anti oksida mungkin berupaya mencegah katarak. Disamping itu, perlindungan daripada cahaya ultra ungu dengan menggunakan cermin mata gelap yang disalut lapisan anti ultraungu mungkin boleh membantu.

1 comment:


  1. Info yang berguna. Katarak boleh disebabkan oleh faktor usia dan faktor sekunder iaitu penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk mencegah katarak, mata perlu dijaga dari awal kerana proses pembentukan selaput pada kanta mata adalah satu proses yang perlahan dan berterusan. Bagi mencegah katarak, seseorang yang berisiko tinggi digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang kaya dengan Vitamin C, beta-carotene dan Vitamin E. Selain itu, bagi mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik, kawalan penyakit itu sangat penting. Merokok dan pengambilan minuman keras juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengurangkan kandungan air di dalam kanta dan menyebabkan kanta menjadi kering dan tidak kenyal.

    ReplyDelete

Artikel Popular