Pages

Kecederaan mata

Bendasing logam di kornea

Kecederaan mata adalah rujukan kecemasan yang biasa dilihat di hospital. Ini boleh berlaku akibat dari pergaduhan, terjatuh, terdedah pada bahan kimia atau bendasing ditempat kerja atau kemalangan jalanraya. Adalah sangat penting sekiranya orang awam dan pengamal perubatan awam dapat membezakan diantara kecederaan mata tertutup dengan kecederaan mata jenis tertusuk. Kecederaan jenis tertusuk boleh menyebabkan jangkitan kuman yang mana akan mengancam penglihatan jika tidak dirujuk dan dirawat dengan segera.


Hyphaema (darah didalam mata)
selepas kecederaan mata tertutup
Kecederaan mata jenis tertutup adalah akibat dari tumbukan dan kecederaan sukan (contohnya badminton atau tennis). Kecederaan mata jenis tertusuk sering terjadi pada kanak-kanak semasa bermain dengan objek tajam, kemalangan jalanraya akibat kemasukan serpihan cermin kenderaan yang pecah dan kemalangan ditempat kerja dimana terdapat partikel-partikel yang berterbangan pada kelajuan yang tinggi.

Tanda & gejala

Kecederaan mata jenis tertutup boleh mengakibatkan lebam disekeliling mata , sakit mata akibat luka pada kornea, kabur penglihatan akibat pendarahan atau kecederaan pada bahagian retina dan penglihatan berganda akibat keretakan pada tulang rongga mata.

Kecederaan mata jenis
terbuka mengakibatkan
iris terkeluar melalui
luka di bahagian kornea.
Kecederaan jenis ini
memerlukan rawatan segera
Sebaliknya, sekiranya terdapat sebarang perubahan pada iris atau anak mata selepas kecederaan, kita seharusnya lebih peka tentang kemungkinan berlakunya luka terbuka pada mata tersebut kerana pesakit seperti ini memerlukan rujukan segera.

Secara amnya, gejala-gejala seperti kurang penglihatan, sakit, penglihatan berganda dan lain-lain ketidakselesaan yang luar biasa selepas kecederaan mata, merupakan petanda bagi mendapatkan rawatan mata yang segera.

Komplikasi

Seperti yang telah diterangkan diatas, mata dengan luka terbuka memerlukan rawatan segera untuk mengurangkan risiko terkena jangkitan kuman yang boleh mengancam penglihatan. Sesetengah kecederaan mata boleh mengakibatkan jangkitan kuman pada kornea, katarak, glaukoma, atau lekangan retina, dan kelewatan dalam mendapatkan rawatan boleh mengancam penglihatan

Rawatan

Rawatan pertama bagi kecederaan kimia adalah dengan mencuci mata menggunakan air yang bersih dengan banyak. Didalam kes kecederaan kimia, seseorang itu tidak sepatutnya mencuba untuk menampan bahan kimia tersebut tetapi sebaliknya hendaklah mencairkannya dengan menyiram air bersih yang banyak. Mencuci mata serta merta dengan air yang banyak sebelum sampai ke hospital atau klinik adalah sangat penting untuk mengurangkan tahap kerosakan yang disebabkan oleh bahan kimia tersebut keatas mata.

Lain-lain jenis kecederaan mata seperti tusukan memerlukan perhatian segera dan rawatan pembedahan yang sewajarnya.

Pencegahan

Pencegahan adalah kunci yang paling utama. Pekerja-pekerja yang bekerja didalam suasana dimana banyak bahan-bahan yang berterbangan sepatutnya sentiasa memakai gogel pelindung

No comments:

Post a Comment

Artikel Popular