Pages

Penyakit mata glaukoma

Glaukoma

Glaukoma ialah salah satu penyebab utama kebutaan yang menjejaskan hampir jutaan manusia diseluruh dunia. Glaukoma adalah suatu penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Saraf optik adalah laluan yang membawa imej yang kita lihat ke otak. Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini akan merosakkan saraf optik seterusnya menyebabkan hilang penglihatan

Glaukoma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Walaubagaimanapun, faktor-faktor yang meningkatkan risiko seseorang mendapat glaukoma termasuklah :


  • meningkat umur.
  • tekanan darah tinggi.
  • sejarah keluarga.
  • Diabetes
  • rabun jauh.
  • rawatan steroid yang berpanjangan.
  • kecederaan mata.

Tanda & gejala

Glaukoma terjadi tanpa rasa sakit dan secara perlahan-lahan pesakit boleh hilang penglihatan tanpa disedari. Oleh itu adalah mustahak ujian saringan mata dilakukan ke atas pesakit, terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga.

Salah satu jenis glaukoma yang dipanggil glaukoma sudut tertutup mempunyai tanda-tanda seperti mata merah, sakit beserta kabur penglihatan dan boleh menyebabkan pesakit merasa mual dan muntah. Ini disebabkan oleh tekanan mata yang tinggi akibat daripada sistem pengaliran dalam mata yang tersekat. Kebanyakan pesakit yang mempunyai risiko untuk mendapat glaukoma jenis ini mempunyai struktur mata yang berbeza yang boleh dikenalpasti melalui pemeriksaan mata sebelum berlakunya serangan penyakit ini. Ini membolehkan rawatan pencegahan diberikan.

Komplikasi

Tanpa rawatan yang sewajarnya, glaukoma boleh memusnahkan saraf optik. Medan penglihatan pesakit akan mengecil seperti terowong atau hilang medan penglihatan dibahagian tengah. Akhirnya, glaukoma boleh menyebabkan pesakit mendapat kebutaan yang tidak boleh dipulihkan.

Rawatan

Tujuan utama rawatan adalah untuk mengekalkan penglihatan. Rawatan pertama ialah menggunakan ubat titis mata yang menyebabkan tekanan intraokular berkurangan dengan cara memudahkan pengaliran cecair keluar dari mata atau mengurangkan penghasilan cecair dalam mata. Sesetengah pesakit memerlukan pelbagai ubat titis mata atau ubat titis mata bersama pil untuk menurunkan tekanan intraokular dengan lebih berkesan. Selain daripada itu, terdapat juga rawatan laser untuk glaukoma sudut tertutup dan glaukoma sudut terbuka. Rawatan laser untuk glaukoma sudut tertutup selalunya dijalankan untuk mencegah dari berlakunya serangan akut seperti yang dinyatakan sebelum ini, sementara rawatan laser untuk glaukoma sudut terbuka dilakukan sekiranya ubat tidak lagi memberi kesan yang mencukupi atau pesakit mengalami kesukaran untuk menggunakan ubat tersebut. Pembedahan membuat satu sistem saliran yang baru dilakukan sekiranya ubat dan rawatan laser tidak lagi berkesan.

Pencegahan

Sehingga kini, rawatan perubatan yang betul dan sempurna dapat merawat dan mengawal glaukoma. Memandangkan kebanyakan pesakit glaukoma tidak menunjukkan sebarang gejala, maka pemeriksaan mata termasuk beberapa ujian khas adalah sangat penting untuk mengelakkan kehilangan penglihatan akibat daripada penyakit ini.

No comments:

Post a Comment

Artikel Popular