Dadah bukanlah satu nama asing bagi kita. Penyalah gunaan dadah merupakan bencana sosial dalam kehidupan kita. Seorang anak sanggup menzalimi ibunya kerana dadah. Maruah kian hilang, kerana dadah mereka sanggup melakukan apa sahaja. Nyawa mereka bergantung kepada dadah. Penagihan dadah adalah musuh utama negara.
Pada tahun 2006 sahaja, kira-kira 77.7 peratus daripada jumlah kes HIV di negara ini, terdiri daripada penagih dadah. Bilangan ini amat tinggi bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia. Apakah kita akan membiarkan angka ini terus meningkat atau membendungnya? Yang pastinya masalah dadah adalah tanggung jawab bersama. Kamal adalah antara pemuda yang diharapkan untuk mewarisi kegemilangan negara kini sudah hilang punca kerana dadah. Kamal bukanlah pemuda yang tidak mempunyai kelulusan atau ilmu, seorang graduan lulusan universiti akhirnya kecundang kerana dadah akibat terlalu mengikut pengaruh rakan-rakan. Kini, segala-galanya hilang. Ilmu yang dipelajarinya sudah tidak bererti lagi. Kerjayanya juga punah. Namun, bagi Kamal semuanya itu tidak bererti baginya sebagai seorang penagih dadah. Dadah adalah syurga baginya. Kini, hidupnya hanya untuk dadah. Hos rancangan: "Kamal adalah di antara kisah penagih dadah yang bukan sahaja hilang punca kehidupannya, malah lebih daripada itu. Apakah cara yang diamalkan oleh Kamal dengan berkongsi jarum suntikan boleh menyebabkan dia dijangkiti HIV?" Pelakon 1: "HIV berlaku jika kita terlibat dengan pelacuran.Tak ada kena mengena dengan dadah." Pelakon 2: "Terpulang pada geng Kamal. Kalau darahnya o.k, takde apa-apalah yang berlaku." Pelakon 3: "Penagih dadah atau penghidap HIV sama sahaja. Sakit atau sihat, tiada beza." Kamal adalah di antara remaja yang telah membuang masa depannya. Dia bukan tidak mengerti akan bahana dadah, pendidikan yang diterimanya sudah cukup untuk dia mengerti tentang bahaya dadah. Namun, jiwanya tidak kuat, dia amat mudah terpengaruh. Akhirnya, dia kecundang. Yang menyedihkan, Kamal semakin lupa siapa dirinya. Di lorong ini bukanlah sesuatu yang asing buat Kamal. Walaupun Kamal bukan sebahagian daripada mereka, namun tingkah laku dan amalan yang berlaku di lorong ini bukan sahaja menjijikkan, bahkan juga bertentangan dengan norma-norma kehidupan kita. Amalan cara hidup tidak sihat seperti di lorong ini adalah antara faktor mengundang kepada jangkitan HIV. Hos rancangan: "Di lorong inilah keseronokan mungkin akan menguasai nafsu mereka. Akan tetapi, apakah keseronokan ini akan berkekalan ataupun membawa bahana kepada mereka?" Pelakon 4: "Saya rasa pelacuran ni boleh bawa penyakit kelamin." Pelakon 5: "Perbuatan melacur ni bukan sahaja mencemarkan imej masyarakat, tapi juga salah di sisi agama." Pelakon 1: "Kalau nak sakit kelamin, pergilah ke tempat-tempat macam tu." Sememangnya HIV boleh berjangkit melalui perhubungan seks yang tidak sihat. Kamal mungkin sudah memahami segala risikonya, namun keasyikkan dan keseronokan telah menghanyutkan semua ilmu yang telah dipelajarinya. Hos rancangan: "Kamal sudah tidak tahu lagi untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Apakah cara hidup yang diamalkan oleh Kamal ini akan mengundang dirinya untuk dijangkiti virus HIV?" Pelakon 2: "Ish, memang tak patut dia buat macam tu. Salah di sisi agama." Pelakon 3: "Biar padan dengan muka dia. Siapa suruh dia cari penyakit? Terimalah!" Pelakon 6: "Kalau dah hidup tidak berlandaskan agama, memang hidup tak berguna." Kehidupan Kamal sudah semakin terbiar. Dirinya sudah tidak terurus lagi. Masyarakat memandang serong kepadanya, siapakah yang harus disalahkan? Bukankah dia sendiri memilih cara hidup sebegini? Akhirnya Kamal tertangkap dan dimasukkan ke pusat serenti. Di sini, Kamal cuba dipulihkan, begitulah nasib Kamal di atas pilihan cara hidupnya sendiri. Begitu banyak waktu yang dibazirkannya dan begitu ruginya ilmu yang dipelajarinya terbuang dek kerana kelalaiannya mengenal erti kehidupan. Nasib Kamal sememangnya bertuah. Selepas keluar dari pusat pemulihan, Kamal diterima bekerja sebagai pembantu pemasaran di sebuah syarikat swasta. Di sini, Kamal bertemu dengan Liza seorang gadis yang banyak memberikan semangat kepadanya. Kini, barulah Kamal mengerti keindahan kehidupan yang sebenar. Perkenalan Kamal dengan Liza telah memutikkan rasa cinta. Akhirnya, Kamal dan Liza mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Hos rancangan: "Sememangnya Kamal telah berubah, namun adakah perkahwinan mereka ini selamat? Sedangkan Kamal telah melalui kehidupan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV. Apakah yang perlu mereka lakukan sebelum perkahwinan ini? Petutkah Kamal menjalani ujian saringan terlebih dahulu?" Pelakon 2: "Yang penting Kamal insaf. Dia pun dah berkahwin." Pelakon 7: "Rasanya, Kamal sudah pulih daripada gejala dadah dan darahnya pun sudah bersih dari sebarang jangkitan." Pelakon 8: "Ujian saringan penting bagi Kamal untuk menguji tahap kesihatannya." Perkahwinan Kamal dengan Liza banyak mengubah cara hidup Kamal. Ada kalanya, kehidupan masa silamnya amat menghantuinya. Namun, Liza amat mengerti masa silam Kamal. Sememangnya Kamal beruntung mendapat isteri seperti Liza. Sememangnya kehidupan masa silam payah untuk dipadamkan. Parutnya tetap ada, tambahan lagi apabila seseorang itu pernah mengamalkan cara hidup yang tidak sihat. Akhirnya, Kamal merasai bahananya. Rakannya yang pernah bersama-samanya dulu, telah disahkan mati akibat HIV. Hos rancangan: "Sememangnya Kamal tampak sihat, perlukah Kamal menjalani ujian pemeriksaan kesihatan? Benarkah Kamal tidak punya apa-apa tanda bahawa dia menghidap penyakit HIV?" Kematian rakannya Muthu amat merisaukan Kamal. Pelbagai andaian mulai menghantui dirinya. Adakah aku juga akan mati kerana HIV? Apakah akan terjadi kepada isteri dan anakku? Ah, tak mungkin! Aku sudah sihat sekarang. Nasibku tidak akan sama dengan Muthu. Akhirnya Kamal membuat andaian sendiri yang dia tidak perlu risau. Baginya, dia seorang yang sihat. Tidak perlu menjalani apa-apa pemeriksaan. Hos rancangan: " Apakah tindakan Kamal itu betul atau sebaliknya? Apakah sebenarnya yang perlu dilakukan oleh Kamal untuk kebaikan isteri dan anaknya?" Pelakon 9: " Kamal tidak perlu risau jika dia sihat. Lainlah kalau dia sakit, barulah dia kena pergi ke hospital untuk melakukan pemeriksaan." Pelakon 10: "Kamal perlu membawa isterinya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan bayi dalam kandungannya sihat." Sememangnya itu malang tidak berbau namun bagi kes HIV jejak penyakit tersebut kebanyakannya boleh dikesan melalui amalan cara hidup seseorang. Penyakit HIV juga sebenarnya boleh dicegah dengan amalan cara hidup sihat. Namun, kedegilan Kamal untuk mengetahui status kesihatannya mungkin membawa padah kepada isteri dan anaknya. Hos rancangan: " Isteri Kamal disahkan positif HIV akibat daripada jangkitan yang dibawa oleh Kamal. Untuk mengurangkan risiko, doktor menasihatkan Kamal agar isterinya melahirkan anak secara pembedahan. Apakah anak yang dilahirkan juga berpotensi untuk dijangkiti HIV?" Pelakon 11: " Kalau doktor melakukan pembedahan, anak yang dilahirkan akan selamat daripada HIV." Pelakon 10: " Kalau bapa dah HIV, emak pun HIV dah tentu anak pun HIV. Kasihan budak tu, lihat saja dunia dah kena penyakit. Itulah, saya nak nasihatkan kalau nak berkahwin biarlah bersih daripada penyakit. Jangan biarkan anak merana kerana perbuatan kita." Isteri Kamal selamat melahirkan anak, namun dirinya berasa sedih kerana telah mendapat tahu bahawa dia telah dijangkiti HIV. Dia seolah-olah tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan ini. Kamal menyesali dirinya. Segala-galanya berpunca daripada kehidupan silamnya, seorang penagih dadah. Jika Kamal tahu inilah akibatnya, tentu dia tidak akan melakukan perbuatan itu namun nasi sudah menjadi bubur. Hos rancangan: " Inilah nasib Kamal yang sememangnya malang. Akibat daripada kemalangan ini, isterinya yang selalu menjadi pendorong hidup kepada dirinya akhirnya meninggal dunia. Kini tinggallah Kamal dengan anaknya yang masih kecil dan masih tidak mengetahui apa-apa lagi tentang kehidupan. Apakah yang akan terjadi kepada Kamal dan anaknya? Apakah anak yang tidak berdosa ini juga akan menerima nasib yang sama seperti ibunya? Yang pastinya, HIV boleh dicegah asalkan kita mengamalkan cara hidup yang sihat. Cegahlah HIV, ia adalah tanggung jawab kita bersama."
| HIV AIDS | Cara Jangkitan | Lagu Kempen | Ujian | Pesakit AIDS |
No comments:
Post a Comment