Chikungunya adalah penyakit yang disebabkan oleh virus Chikungunya. Ia berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes. Tanda-tanda dan gejala utama penyakit ini adalah demam panas yang mendadak pada suhu 38 darjah Celsius atau lebih. Sakit sendi terutama di hujung jari, pergelangan tangan, buku lali dan rasa ngilu pada tulang. Mempunyai ruam pada tangan, badan dan kaki. Sakit kepala, mata merah, loya dan muntah. Seorang pesakit boleh mengalami demam dari satu ke tujuh hari dan boleh di salah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda Chikungunya menyerupai demam denggi. Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, tiada rawatan khusus.
Rawatan diberi berdasarkan kepada gejala-gejala yang dihadapi oleh seseorang pesakit. Penyakit Chikungunya boleh dicegah dengan cara-cara seperti membersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes. Di samping itu, semua bekas yang terpakai yang boleh menakung air dibuang dengan betul. Tutup semua bekas menyimpan air atau masukkan bahan pembunuh jentik-jentik atau tukar air dan basuh sehingga bersih setiap minggu. Tukar air dan basuh bekas bunga setiap minggu. Sental sehingga bersih bekas piring pasu bunga untuk menghapuskan telur nyamuk Aedes setiap minggu. Di samping itu, periksa palong hujan dan pastikan air tidak bertakung. Kita juga boleh menghapuskan nyamuk Aedes dewasa menggunakan semburan racun serangga. Untuk mengelakkan gigitan nyamuk, pakailah pakaian menutup anggota dan pasang jejaring pada tingkap rumah.
Sekiranya terdapat tanda dan gejala penyakit ini, dapatkan rawatan yang segera. Tiada vaksin bagi penyakit ini, oleh itu patuhilah arahan yang diberikan oleh anggota kesihatan.
No comments:
Post a Comment