Pages

Penyakit respiratori asma

| Pengenalan | Faktor | Gejala | Tanda | Rawatan | Pencegahan | Prognosis
Asma di kalangan kanak-kanak adalah penyakit yang biasa dan ia melibatkan semua peringkat umur. 10 -14 % kanak-kanak sekolah menghidap asma. Walau bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan bahawa penyakit ini semakin menular dan lebih serius di kalangan kanak-kanak.

Serangan asma boleh tergolong kepada serangan yang tidak serius, sederhana hingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa. Serangan asma adalah sebab utama/punca kanak-kanak dimasukkan ke hospital.

Asma terjadi kepada kanak-kanak samada mereka mempunyai sejarah asma di kalangan ahli keluarga ataupun tidak. Kanak-kanak yang ada sejarah asma di kalangan ahli keluarga dan penyakit alahan lain seperti eczema, allergic rhinitis dan demam alah (hay fever) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat asma.


Apakah itu asma?
Asma adalah satu penyakit radang sistem pernafasan yang kronik, di mana salur pernafasan menjadi:
  • Merah
  • Bengkak
  • Menghasilkan lendir berlebihan
  • Mudah terangsang (hypersensitive)

Apabila terdedah kepada rangsangan atau faktor pencetus, salur pernafasan menjadi sempit dan ini menyebabkan kesukaran bernafas.

Tahap serangan asma berubah mengikut masa bergantung kepada pendedahan terhadap pencetus dan ubat kawalan asma.

Apakah faktor pencetus?
Ada beberapa faktor pencetus yang menyebabkan gejala asma. Ada faktor pencetus yang biasa kepada semua pengidap asma, manakala ada antaranya bergantung kepada individu tersebut. Antara faktor pencetus asma adalah:
  • Jangkitan virus pada sistem pernafasan
  • Merokok
  • Perubahan cuaca
  • Alahan pada debunga seperti house dust mile ,kulat dan binatang peliharaan
  • Senaman
  • Bahan perangsang seperti minyak wangi, bau cat dan habuk lantai
  • Makanan dan perasa tambahan makanan
  • Ubat seperti aspirin atau lain-lain ubat tahan sakit (NSAIDs atau pain killer)
  • Emosi
  • Gastro-oesophageal reflux (Pengaliran asid dari dalam perut ke atas)

Apakah gejala asma?
Gejala utama adalah:
  • Batuk
  • Batuk di waktu malam (waktu tidur)
  • Rasa ketat di dada (nafas berbunyi seperti visel)
  • Susah bernafas

Apakah tanda-tanda asma?
  • Sebahagian dari kanak-kanak tiada tanda perubahan fizikal semasa bebas dari serangan asma.
  • Dada berbentuk dada burung (Barrel-shape chest) dapat dielakkan sekiranya asma dapat dikawal dengan baik.
  • Adanya tanda-tanda penyakit eczema dan resdung (allergic rhinitis) juga menyokong diagnosa asma.

Tanda kelihatan lebih jelas sewaktu serangan asma. Kanak-kanak mungkin mengalami:
  • Nafas berbunyi (Audible wheeze)
  • Susah untuk menghembus nafas (breath out)
  • Nafas laju
  • Denyutan jantung cepat

Serangan yang teruk menyebabkan kanak-kanak :
  • Kelihatan gelisah
  • Letih lesu
  • Bimbang
  • Kulit berpeluh dan sejuk
  • Warna kebiruan pada bibir dan kuku
  • Penurunan pada bacaan peak flow berbanding kadar bacaan peak flow terbaik individu tersebut (predicted value or personal best)

Sasaran rawatan
  • Untuk menghilangkan dan mengawal gejala asma
  • Mengelak serangan asma
  • Mempunyai kualiti hidup yang baik
  • Berupaya menyertai acara sukan
  • Menghalang kemusnahan tisu paru-paru
  • Mengelakkan kematian

Apakah jenis rawatan asma?
Ubat asma terbahagi kepada 3 jenis
  • Ubat Pencegah
    • Ubat ini dapat mengelakkan serangan asma dengan mengawal radang di sistem pernafasan. Ia bertindak dengan mengurangkan bengkak dan pembentukan lendir di sistem pernafasan.
  • Ubat Pelega
    • Ubat ini bertindak dengan mengendurkan otot-otot pernafasan dan ini seterusnya akan membuka salur pernafasan yang sempit.
  • Ubat kawalan
    • Ubat ini bertindak mengendurkan otot pernafasan dan mengekalkan salur pernafasan dalam keadaan terbuka buat masa yang lama. Ia digunakan untuk kes serangan asma yang teruk.

Apa yang perlu dilakukan untuk mengawal asma?
  • Elakkan faktor pencetus asma
  • Gunakan ubat pencegah setiap hari mengikut arahan doktor
  • Gunakan ubat asma dengan cara yang betul
  • Kenali tanda serangan asma dan dapatkan rawatan awal
  • Ikut arahan plan tindakan asma yang diberi oleh doktor
  • Lawatan susulan yang berkala sebagaimana arahan Doktor

Bolehkah asma disembuhkan?
Asma hanya boleh dikawal tetapi tidak boleh disembuhkan.Sebahagian kanak-kanak pulih semasa usia meningkat remaja, manakala sebahagiannya mendapat gejala yang lebih teruk.

Ramai kanak-kanak akan bebas dari asma, walaubagaimanapun ada gejala asma yang menyerang kembali di kemudian hari.

| Pengenalan | Faktor | Gejala | Tanda | Rawatan | Pencegahan | Prognosis

No comments:

Post a Comment

Artikel Popular