Pages

Ubat-Ubatan dan Kesihatan Mulut Kanak-Kanak

Banyak ubat-ubatan, termasuk ubat yang dipreskripsi oleh doktor, ubat yang dibeli di kaunter dan vitamin-vitamin, boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan mulut. Ubat-ubatan untuk penyakit kronik juga boleh memberi kesan sampingan negatif kepada kesihatan mulut. Ada antara ubat-ubatan ini memberi kesan akibat kandungan gulanya yang tinggi, yang boleh menyebabkan kerosakan gigi.

Antara kesan sampingan pada kesihatan mulut yang biasa dilihat akibat pengambilan ubat-ubatan adalah perubahan warna gigi, kerosakan gigi, mulut kering, pembengkakan gusi dan reaksi tisu lembut.

Perubahan warna gigi

Tetracycline (sejenis antibiotik) boleh memberi impak negatif kepada kegigian jika diberi kepada ibu-ibu mengandung, yang menyusukan bayi atau pada kanak-kanak di bawah umur 7 tahun. Kegigian bayi yang akan lahir atau bayi yang menyusu atau kanak-kanak ini akan mengalami perubahan warna. Jika antibiotik ini diambil oleh ibu-ibu yang mengandung atau yang menyusukan bayi, perubahan warna akan terjadi pada gigi susu. Tetapi jika diberi pada kanak-kanak sehingga umur 7 tahun, kegigian kekal juga akan terlibat. Warna kegigian terdiri dari kekuning-kuningan hingga ke kuning coklat.

Kerosakan gigi

Gula adalah kandungan biasa yang terdapat dalam kebanyakan ubat-ubatan cecair, vitamin dan ubat batuk. Ubat-ubatan yang berasaskan kandungan gula ini meninggalkan lebihan manis yang melekit  di dalam mulut. Kanak-kanak yang perlu mengambil ubat-ubatan dalam jangkamasa panjang mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kerosakan gigi. Mereka digalakkan untuk berkumur selepas mengambil ubat. Cara lain adalah makan ubat pada waktu makan (jika boleh diambil dengan makanan) ataupun bincang dengan doktor jika ada ubat gantian yang tidak mengandungi gula (sugar-free alternatives). Bagaimanapun, jangan sesekali mengubah ubat tanpa berbincang terlebih dahulu dengan pihak doktor.


Mulut Kering

Berbagai ubat-ubatan (yang dipreskripsi oleh doktor atau yang dibeli di kaunter) boleh menyebabkan mulut kering. Mulut kering disebabkan kekurangan pengeluaran air liur. Air liur berfungsi untuk membersihkan mulut, membantu melembapkan makanan apabila menelan dan berbagai fungsi yang lain yang berfaedah.Tanpa air liur yang mencukupi, mukosa (lapisan dalam mulut) akan berasa kering dan tidak selesa, mengalami iritasi dan kemerahan dan gigi mudah rosak.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mulut kering adalah:

  • Antihistamin
  • Ubat sawan
  • Antidepressan

Apa yang boleh anda lakukan jika mengalami mulut kering:

  • Minum air atau minuman tanpa gula secara sedikit-sedikit tetapi kerap
  • Rangsang pengeluaran air liur dengan mengunyah gula-gula getah tanpa gula
  • Elakkan minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman berkarbonat


Kebengkakan gusi

Kebengkakan gusi juga dikenali sebagai 'hiperplasia gusi' atau 'pembesaran gusi'. Kebengkakan gusi ini boleh disebabkan oleh ubat-ubat berikut; phenytoin, nifedipine, cyclosporine dan verapamil. Kebengkakan ini mungkin perlu dibedah untuk membuang tisu yang berlebihan. Jika seseorang pesakit ada mengambil ubat-ubatan ini, adalah sangat penting bagi mereka menjaga kebersihan mulut bagi mengurangkan kejadian kebengkakan gusi ini.


Keputihan dalam mulut (Oral thrush)

Keputihan dalam mulut ialah sejenis jangkitan fungus (juga dikenali sebagai oral candidiasis) yang kelihatan seperti tompokan putih dalam mulut. Apabila tompokan ini disapu, ia meninggalkan bekas kemerahan yang agak menyakitkan. Ia biasa kelihatan pada pesakit yang mempunyai tahap imuniti yang rendah dan pesakit yang memakai inhaler steroid dalam tempoh yang lama.

Bagi mengelakkan pembentukan tompokan putih ini, kanak-kanak ini dinasihatkan berkumur mulut setiap kali selepas menggunakan inhaler steroid.

Ditulis oleh: Dr. Juanna bt. Bahadun

No comments:

Post a Comment

Artikel Popular