Pembengkakan prostat yang bukan kanser (Benign prostatic hyperplasia (BPH)) adalah keadaan di mana kelenjar prostat membengkak, selalunya berlaku kepada kaum lelaki yang berumur lebih 50 tahun. Kadar kejadian pembengkakan prostat berlaku melebihi 50 peratus pada umur 60 tahun dan melebihi 90 peratus pada umur 85 tahun ke atas. Ianya merupakan penyakit yang penting kerana menyebabkan masalah kencing. Justeru itu akan mengganggu kehidupan dan tidur pesakit.
Gejala dan Tanda
- Tidak khusus, ianya juga boleh berlaku pada penyakit yang melibatkan bahagian bawah saluran kencing contohnya kanser pundi kencing, batu karang dalam pundi kencing, jangkitan pada saluran kencing, kanser prostat, jangkitan pada prostat, tersumbat saluran kencing.
- Gejala penyumbatan saluran kencing (Obstructive symptoms) adalah seperti aliran air kencing yang tidak lancar, meneran semasa kencing, rasa susah untuk mulakan kencing, pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya selepas kencing dan aliran air kencing terganggu.
- Gejala iritasi pada pundi kencing (irritative symptoms) termasuk pesakit akan kencing lebih kerap sama ada siang atau malam (frequency) dan juga perasaan terdesak hendak terkencing (urgency).
- Sesetengah pesakit mungkin tidak akan mengalami gejala-gejala tersebut, manakala yang lain akan mengalami gejala yang teruk.
- Pesakit mungkin mengalami masalah tidak boleh kencing (Retensi Urin Akut) dengan tiba-tiba. Ini boleh dicetuskan dengan pengambilan ubat selsema seperti decongestant.
Pemeriksaan dubur (Digital rectal examination - DRE)
Doktor akan melakukan pemeriksaan dubur untuk mendiagnosa penyakit pembengkakkan prostat (Benign prostatic hyperplasia - BPH). Doktor akan menggunakan sarung tangan dan pelincir semasa memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Sekiranya kelenjar prostat yang bengkak itu lembut dan licin (smooth), kemungkinan ia disebabkan oleh pembengkakkan prostat yang bukan kanser. Sekiranya ia keras dan berbiji, berkemungkinan jangkitan prostat atau kanser.
Lain-lain pemeriksaan
- Ujian darah untuk memeriksa paras PSA (prostate specific antigen) iaitu sejenis protein yang dikeluarkan oleh kelenjar prostat ke dalam darah.
- Pemeriksaan air kencing dilakukan untuk memastikan sama ada pendarahan berlaku atau pun jangkitan.
- Ujian aliran air kencing (UROFLOW) - pesakit akan kencing dan air kencing itu akan disalurkan pada satu alat di mana ia akan mengukur kelancaran perjalanan air kencing itu. Sekiranya aliran air kencing itu lambat, kemungkinan pesakit menghidap pembengkakan kelenjar prostat.
- Pemeriksaan X-ray abdomen juga akan dilakukan untuk melihat keadaan pundi kencing kerana batu karang dalam pundi kencing kerap berlaku di kalangan kaum lelaki di Malaysia - yang menghidap BPH.
Komplikasi
- Jangkitan pundi kencing juga boleh berlaku disebabkan oleh saluran kencing yang tersumbat. Jangkitan yang berulang boleh mengakibatkan terjadinya batu karang dalam pundi kencing. Jangkitan juga boleh merebak kepada buah zakar.
- Kelenjar yang sangat besar dan penuh dengan pembuluh darah boleh menyebabkan pendarahan dan kadang kala darah beku boleh menyumbat saluran kencing.
- Penyumbatan yang berpanjangan akan menyebabkan kedua-dua buah pinggang membengkak. Dalam keadaan ini, pesakit yang mengalami retensi urin tidak akan mengalami kesakitan seperti mana pesakit dengan retensi urin akut. Fungsi buah pinggang akan terjejas dan pesakit akan mendapat kegagalan buah pinggang melainkan penyumbatan diperbetulkan.
- Otot dinding pundi kencing perlu mengecut kuat untuk mengatasi penyumbatan yang berlaku. Sekiranya keadaan ini berpanjangan, otot dinding pundi kencing akan menipis seterusnya menyebabkan otot pundi kencing tidak boleh mengecut.
Rawatan
BPH boleh dirawat dengan pemberian ubat atau pembedahan. Doktor akan menentukan kaedah rawatan yang perlu mengikut keterukan gejala, komplikasi, umur dan corak hidup pesakit. Bagaimanapun bagi pesakit yang mengalami gejala yang ringan, pemantauan sahaja perlu dilakukan. Pesakit tidak diberi sebarang ubat tetapi hanya dikehendaki mendapat lawatan susulan secara berkala.
Rawatan Ubat-ubatan
Rawatan cara ini semakin meningkat kerana kebanyakan pesakit tidak suka
menjalani pembedahan. Ubat-ubatan perlu diambil sepanjang hayat dan
berkemungkinan kesan sampingan boleh berlaku.Ada 2 jenis kumpulan ubat
yang boleh digunakan; alpha-l- blockers dan 5-alpha reductase
inhibitors.- Alph-1-blockers
- 5-alpha Reductase Inhibitors
Rawatan secara Pembedahan
Transurethral resection of the prostate (TURP) adalah rawatan pembedahan yang paling biasa dilakukan. Selepas pemberian ubat bius melalui tulang belakang (biasspinal) prosedur ini dilakukan oleh pakar urologi dengan menggunakan alat resectoscope. Pakar urologi akan membuang tisu prostat supaya saluran kencing menjadi lebih besar untuk memudahkan aliran air kencing. Mengambil masa 1 jam untuk melakukan pembedahan tersebut dan pesakit perlu tinggal di wad sekurang-kurangnya 3 hari. Kelenjar yang sangat besar perlu dibuang melalui pembedahan di panggil prostatectomy selepas pemberian bius secara menyeluruh.
Pendarahan dan jangkitan adalah komplikasi yang kerap berlaku selepas pembedahan. Selepas pembedahan TURP ramai lelaki akan mengalami ejakulasi ke belakang di mana air mani tidak keluar semasa ejakulasi, sebaliknya masuk ke dalam pundi kencing. Pesakit jarang mengalami masalah pengawalan pundi kencing (inkontinen) sama ada ia sementara atau pun berkekalan. Kesukaran untuk mencapai ereksi zakar jarang berlaku selepas pembedahan.
Pembedahan boleh mengurangkan gejala-gejala dengan segera tetapi pembengkakkan semula prostat boleh berlaku dan menyebabkan saluran tersumbat lagi. Ini boleh berlaku kepada lebih kurang 5% pesakit yang menjalani pembedahan.
Alternatif lain termasuklah penggunaan laser, gelombang mikro dan terapi haba. Sesetengah pesakit yang gagal dalam rawatan ubat-ubatan dan tidak boleh menjalani pembedahan boleh menggunakan prostatic stent. Alat berupa spring ini bertindak membuka saluran kencing yang sempit
Kumpulan Sokongan
No comments:
Post a Comment