Penyakit asma adalah penyakit kronik paru-paru yang menyebabkan saluran pernafasan mengalami radangan (inflamasi) dan hyper-responsif (menyempit).
Objektif rawatan penyakit asma adalah merawat 2 komponen ini iaitu radangan dan penyempitan saluran pernafasan. Kemajuan di dalam sains dan teknologi perubatan telah melihat evolusi rawatan penyakit asma semakin baik jika dibandingkan sebelum ini. Walaupun asma tidak dapat disembuhkan, terdapat berbagai jenis ubat yang boleh digunakan oleh doktor untuk merawat dan mengawal penyakit asma. Ubat-ubat asma terdapat di dalam bentuk sedutan (inhaler), pil dan suntikan bergantung kepada tahap keterukan asma pesakit.
Merawat penyakit asma dengan baik amatlah penting untuk mengelakkan pesakit dimasukan ke hospital kerana serangan asma dan juga untuk membolehkan pesakit asma menjalani hidup normal. Di samping pentingnya kita menitik beratkan rawatan asma, tidak kurang penting ialah membuat diagnosa penyakit asma dengan tepat dan objektif untuk mengelakkan pembaziran ubat asma.
Gejala penyakit asma iaitu sesak nafas, batuk malam, nafas berbunyi (wheezing) dan ketat dada tidak semestinya dialami oleh semua pesakit asma. Kadangkala pemeriksaan fizikal tidak dapat mengesan tanda-tanda seseorang individu mengidap penyakit asma. Ini menyebabkan penyakit asma sukar untuk disahkan tanpa menjalani ujian-ujian tertentu.
Spirometer |
Satu kaedah membuat diagnosa penyakit asma secara objektif ialah kaedah yang dipanggil "Bronchial Provocation Test" (BPT) atau ujian provokasi bronkial.
Apakah itu "Bronchial Provocation Test"
Dinding saluran pernafasan (Bronkus) yang mengandungi otot (smooth muscle) akan menyempit apabila diberikan provokasi dengan ejen tertentu sekiranya seseorang mengalami asma. Ini adalah satu ciri utama asma adalah hyper-responsif. Tujuan ujian ini adalah untuk melihat samada saluran pernafasan seseorang itu hyper-responsif, iaitu saluran pernafasan menyempit sebagai respons terhadap ejen yang digunakan untuk membuat provokasi terhadapnya. Sekiranya ujian BPT tidak menunjukkan hyper-responsif, kemungkinan besar seseorang itu tidak mengalami penyakit asma.
Walau bagaimanapun, ujian BPT tidak digunakan bagi setiap kes untuk membuat diagnosa asma. Ianya hanya digunakan sekiranya ujian spirometer gagal mengesan asma tetapi kemungkinan asma masih tinggi.
Bagaimana ujian BPT dijalankan?
Pesakit akan disaring (screening) terlebih dahulu untuk memastikan mereka layak menjalani ujian ini. Ini adalah untuk memastikan ujian ini selamat dijalankan. Sekiranya layak, pesakit akan diberi penerangan tentang perkara-perkara tertentu, ubat dan makanan yang perlu dijauhi sebelum ujian dilakukan. Ini adalah untuk memastikan keputusan ujian tepat.
Ujian BPT tidak dijalankan sekiranya:
- Fungsi paru-paru terlalu rendah (FEV1 kurang dari 60 peratus atau < 1.5Litre)
- Darah tinggi yang tidak terkawal
- Tidak boleh menggunakan alat spirometer dengan betul
- Jangkitan pada paru-paru
- Mengandung
Terdapat larangan tertentu sebelum pesakit menjalani ujian BPT. Makanan, minuman dan ubat yang harus dielakkan untuk tempoh tertentu sebelum menjalani ujian BPT termasuk :-
- Bronchodilator (ubat untuk mengembangkan saluran pernafasan)
- Steroid
- Kopi, teh, coklat
- Makanan yang mengandungi kafein
Faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi keputusan ujian BPT ialah merokok, jangkitan paru-paru, senaman dan allergen. Ubat tertentu perlu diberhentikan untuk jangka masa beberapa jam atau minggu sebelum ujian BPT dijalankan bergantung kepada jenis ubat.
Apa yang berlaku semasa ujian BPT?
Dosimeter |
Pesakit akan menyedut aerosol methacholine secara berperingkat-peringkat kekuatannya. Methacholine diberikan kepada pesakit dalam keadaan duduk melalui alat yang dipanggil dosimeter. Methacoline akan menyebabkan otot saluran pernafasan menyempit semasa ujian dijalankan. Tujuannya ialah untuk memprovokasi saluran pernafasan supaya menjadi hyper-responsif. Ini adalah asas ujian ini. FEV1 akan dijalankan selepas setiap kali pesakit menyedut aerosol methacoline untuk melihat samada saluran pernafasan hyper-responsif atau tidak.
Interpretasi keputusan ujian BPT
Ujian BPT dianggap positif sekiranya ukuran FEV1 jatuh sekurang-kurangnya 20 peratus dari nilai FEV1 sebelum ujian dijalankan.
Sekiranya keputusan ujian adalah positif, ini bermakna pesakit disahkan mempunyai penyakit asma dan bronchodilator akan diberikan kepada pesakit untuk memastikan FEV1 kembali normal sebelum pesakit dibenarkan pulang. Kesan dan reaksi yang mungkin berlaku semasa ujian BPT termasuklah sesak nafas, batuk dan ketat dada.
Secara keseluruhannya, ujian BPT adalah selamat. Penyempitan saluran pernafasan akibat ujian ini boleh dipulihkan dengan cepat melalui bronchodilator.
Di mana ujian BPT dijalankan?
Ujian BPT selalunya dijalankan di makmal fungsi paru-paru atau makmal pulmonari fisiologi di bawah kendalian pakar perubatan respiratori (paru-paru).
Kesimpulannya, ujian BPT amat berguna untuk memastikan seseorang itu tidak mengalami penyakit asma. Ujian BPT mempunyai peranan yang penting di dalam penilaian pesakit yang mengalami simtom batuk dan semput.
Langkah-langkah ujian BPT
- Penolong Pegawai Perubatan akan menerangkan ujian BPT kepada pesakit termasuk ubat atau makanan tertentu yang perlu dijauhi sebelum ujian dilakukan. Setelah pesakit faham, pesakit akan diberi temujanji untuk hadir menjalani ujian BPT.
- Pada hari ujian BPT, Penolong Pegawai Perubatan akan membuat persediaan kekuatan methacholine (dari kekuatan terendah hingga ke tahap tertinggi).
- Pesakit menyedut methacholine yang diberi oleh dosimeter. Kekuatan methacholine akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat.
- Pesakit akan membuat ujian fungsi paru-paru (FEV1) menggunakan spirometer selepas menyedut methacholine. Ujian akan diberhentikan sekiranya FEV1 jatuh 20 peratus dari nilai FEV1 sebelum ujian dijalankan.
No comments:
Post a Comment